http://nursyuhada-zukafle.blogspot.com/

[NOTA] Strategi, Pendekatan, Kaedah, Teknik - bhg 1

1.0 DEFINISI STRATEGI, PENDEKATAN, KAEDAH DAN TEKNIK
1.1 STRATEGI
            Menurut Kamus Dewan edisi ketiga (1998), strategi merupakan rancangan yang teratur untuk mencapai maklamat atau kejayaan. Strategi merupakan satu perancangan yang melibatkan satu operasi dan aktiviti pengurusan kaedah yang digunakan untuk mencapai matlamat tertentu. Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran, strategi merujuk kepada satu set aksi pengajaran yang bertujuan untuk mencapai objektif yang diharapkan. Strategi merujuk kepada cara-cara bagaimana guru mengendalikan sesuatu aktiviti pembelajaran dengan sistematik dan bukan dengan caracuba jaya. Strategi merupakan tindakan-tindakan spesifik yang dilakukan dengan sengaja oleh guru untuk mencapai matlamat-matlamat khusus dalam proses pembelajaran.
            Guru memerlukan kemahiran untuk merancang dan menguruskan kaedah dan teknik pengajaran supaya dapat disampaikan kepada murid-murid untuk memperoleh hasil pembelajaran maksimum. Aspek yang perlu diambil kira oleh guru semasa menentukan strategi pengajaran yang sesuai ialah objetif pengajaran, proses pengajaran, isi kandungan, persediaan dan kebolehan mengajar, gaya pengajaran dan persekitaran di dalam bilik darjah.
            Dalam bidang pendidikan, konsep strategi merujuk kepada kebijaksanaan memilih pendekatan serta kecekapan merancang kaedah dan teknik dalam pengajaran dan pembelajaran berdasarkan objektif pelajaran yang telah ditentukan. Dengan perkataan lain, strategi pengajaran dan pembelajaran merujuk kepada teknik perancangan kaedah serta teknik mengajar berdasarkan sesuatu pendekatan untuk tujuan mencapai objektif pelajaran dengan berkesan.
            Dalam sesuatu waktu pelajaran, strategi pengajaran dan pembelajaran merangkumi pertimbangan-pertimbangan seperti penentuan pendekatan berdasarkan objektif pelajaran, pemilihan kaedah dan teknik mengajar berdasarkan pendekatan yang ditentukan penyusunan kaedah dan teknik mengajar secara sistematik dengan mengikut prinsip dan teori pembelajaran. Selain itu, pertimbangan-pertimbangan lain seperti pengagihan masa untuk setiap langkah mengajar dirancang secara optimum, penggunaan bahan pelajaran mengikut keperluan untuk setiap kaedah dan teknik mengajar dan pengurusan kelas mengikut pendekatan dan strategi yang sesuai dipilih.
            Strategi pengajaran dan pembelajaran menegaskan kepandaian memilih, menyusan dan mengurus sesuatu rancangan dengan tujuan menghasilkan pencapaian yang optimum. Strategi pengajaran dan pembelajaran boleh diperhatikan daripada beberapa contoh seperti strategi penggabungjalin kemahiran bahasa, misalnya pertuturan, membaca dan menulis. Selain itu, strategi pengajaran dan pembelajaran juga boleh dilihat seperti strategi penyerapan nilai-nilai murni dalam pengajaran sesuatu mata pelajaran, strategi integrasi fakta-fakta dalam berbagai-bagai mata pelajaran, strategi penggabungjalinan kaedah keseluruhan kelas dengan kaedah kumpulan dan strategi penggabungjalinan kemahiran-kemahiran pelajaran dalam kelas bercantum.
            Ringkas kata, pemilihan strategi haruslah berdasarkan pertimbangan teori pembelajaran, pendekatan, kaedah dan teknik mengajar. Penentuan dan pelaksanaan strategi yang sesuai akan menghasilkan pencapaian objektif yang berkesan.


1.2   PENDEKATAN
            Pendekatan merupakan satu penyusunan prosedur yang membezakan pengajaran seseorang guru dengan seorang yang lain. Mengikut Kamus Dewan (1998), pendekatan merupakan cara atau langkah-langkah yang diambil bagi memulakan dan melaksanakan sesuatu tugas. Di dalam konteks pendidikan, konsep pendekatan bermakna cara mendekati sesuatu, misalnya objektif pelajaran yang ditentukan untuk pengajaran dan pembelajaran. Dengan kata lain, pendekatan kepadacara bagaimana sesuatu mata pelajaran diajar untuk mencapai objektifnya.
            Kamarudin Husin (1998), menjelaskan pendekatan ialah satu kumpulan andaian yang saling berkaitan, yang mencerminkan suatu pandangan atau falsafah yang berkaitan dengan proses pengajaran dan pembelajaran. Pendekatan ditentukan oleh cara sesuatu kandungan mata pelajaran diolah oleh guru dan juga ditentukan oleh kriteria sejauh mana murid-murid terlibat dalam proses pengajaran dan pembelaran. Mengikut Kamaruddin Hj. Husin ( 2004) mengatakan pendekatan dalam suatu pengajaran dan pembelajaran adalah satu kumpulan andaian yang saling berkait tentang sesuatu bentuk pengajaran dan pembelajaran. Setiap pendekatan mencerminkan satu pandangan, atau falsafah atau teori. Menurut Edward M. Anthony (1963), pendekatan ialah satu set andaian yang saling berkait dengan proses pengajaran dan pembelajaran serta mempunyai unsur aksiomatik.
            Gestalt ( 2004) pula mengatakan bahawa, dalam pendekatan, kita mempelajari sesuatu perkara atau sesuatu situasi secara keseluruhan dan kemudiannya mempelajari elemen-elemen perincian situasi itu. Jika kita menerima sebagai satu teori pembelajaran, maka kita boleh dijadikan sebagai satu pendekatan dan pengajaran.

1.2.1   PENDEKATAN DEDUKTIF
            Menurut Kamarudin Hj. Husin(2002 ; 178), pendekatan deduktif bermula daripada sesuatu atau beberapa rumus, prinsip, hukum, teorem atau peraturan diikuti dengan aplikasinya ke atas contoh-contoh yang khusus. Rumus, prinsip atau hukum yang telah dipelajari daripada kaedah deduktif boleh digunakan untuk mendapatkan rumus-rumus, prinsip-prinsip, teorem-teorem atau hukum-hukum yang baru.
            Dalam pengajaran deduktif, guru akan mengajar sesuatu konsep (sebagai contoh:konsep hujan ) terlebih dahulu sebelum meminta murid-murid untuk mengemukakan contoh-contoh. Dalam pendekatan deduktif ini, guru akan menjelaskan bagaimana proses hujan itu berlaku terlebih dahulu dan guru akan meminta murid menyenaraikan unsur-unsur yang terlibat dalam proses hujan tersebut. Guru dan murid akan bersoal jawab tentang konsep hujan yang dibincangkan dan disusuli dengan aktiviti pengukuhan murid-murid menjawab soalan latihan daripada buku teks dan memberikan contoh-contoh sendiri mengenai konsep hujan. Pendekatan deduktif ini berasaskan kepada kenyataan bahawa setiap orang murid adalah berbeza daripada segi intelek, minat, kecekapan, dan daya cipta.

1.2.2   PENDEKATAN INDUKTIF
            Dalam pendekatan induktif, guru akan memulakan pengajaran dengan memberikan contoh-contoh yang khusus berdasarkan satu prinsip yang sama. Guru perlu mengenal pasti maklamat pengajaran dan pembelajaran dan menyediakan contoh-contoh yang berkaitan dengan objektif pengajaran dan pembelajaran. Dalam langkah seterusnya, guru perlu memberi contoh-contoh tambahan supaya murid memahami dan melihat persamaan daripada contoh-contoh tersebut. Daripada contoh-contoh tadi, murid akan membuat satu kesimpulan serta membuat generalisasi mengenai konsep yang diajar oleh guru. Guru akan membuat penyoalan serta membimbing murid dalam mengukuhkan kesimpulan konsep. Murid dibimbing melalui aktiviti penyoalan oleh guru supaya mereka dapat membuat kesimpulan yang tepat.
            Dalam pendekatan ini, guru perlu menyediakan alat bantu mengajar yang bersesuaian. Dalam model induktif, guru perlu merancang aktiviti, membuat perlaksanaan dan penilaian sendiri. Mengikut laman webhttp//www.potralpendidikan.com (1998), pendekatan induktif dapat dirumuskan sebagai satu pendekatan di mana guru memberikan contoh-contoh khusus dan murid-murid memerhati, mentafsir dan mengkaji serta generalisasi. Pendekatan ini sesuai untuk pelbagai mata pelajaran seperti Bahasa, Sains dan Matematik

1.2.3   PENDEKATAN ELEKTIF
            Menurut laman web http//www.potralpendidikan.com, elektif berasal daripada istilah bahasa Inggeris “elective” bermakna pemilihan. Ia merupakan gabungan pendekatan induktif dan deduktif dan digunakan sebagai strategi untuk mengajar rumus, prinsip, hukum, konsep dan teorem. Pendekatan ini juga sesuai digunakan sebagai strategi pengajaran dalam aktiviti kumpulan (aktiviti pengayaan dan pemulihan). Guru boleh menggunakan pendekatan ini dalam strategi berpusatkan bahan (sebagai aktiviti pengayaan).
            Dalam pendekatan ini terdapat beberapa ciri-ciri iaitu pendekatan ini sesuai untuk murid pelbagai kecerdasan dan kebolehan. Ciri yang kedua ialah murid-murid dilibatkan secara aktif dalam pembelajaran sama ada dalam tugas mengasas rumusan atau memberikan contoh. Dalam pendekatan ini, guru memberi input terlebih dahulu kerana ini akan memudahkan murid-murid untuk memberi contoh dan membuat rumusan. Guru akan menggunakan kreativiti sendiri dan tidak terikat kepada mana-mana pendekatan (induktif/deduktif) yang khusus. Dalam pengajaran dan pembelajaran, guru akan mengajar mengikut kemampuan dan kebolehan murid. Kebiasaannya, pendekatan ini banyak digunakan dalam pengajaran sains dan matematik. 

1.2.4   PENDEKATAN KOMUNIKATIF
            Bahagian Pendidikan Guru (2004) menunjukkan pendekatan ini mengutamakan kecekapan berkomunikasi. Pengajaran bahasa mestilah merangkumi kecekapan bahasa yakni penguasaan sistem tatabahasa serta kecekapan berkomunikasi. Kecekapan yang pertama membolehkan seorang murid menguasai struktur bahasa yang tepat bagi menyampaikan mesej kepada khayalaknya. Kecekapan yang kedua membolehkan murid tersebut menggunakan bahasa yang sesuai dengan khalayak yang dihadapinya.
            Pengajaran ini dimulakan dengan latihan menggunakan struktur bahasa yang tepat dan sesuai dengan sesuatu aktiviti komunikasi yang dipilih oleh guru. Ragbir Kaur (1998) mengatakan bahawa pendekatan induktif dan deduktif digunakan dalam latihan ini dan murid-murid akan melibatkan diri dalam aktiviti berkomunikasi atau berinteraksi bagi membolehkan mereka menggunakan struktur ayat yang dilatih. Pedekatan pengajaran ini lebih bepusatkan murid.

4 comments:

  1. nota pendekatan?
    nota kaedah n teknik?

    ReplyDelete
  2. assalamualaikum ... pendekatan startegik xda ke ??

    ReplyDelete
  3. saya jadikan penulisan syuhada sbg rujukan saya. halalkan ya...

    ReplyDelete